Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

'Apa salahnya, mainan itu masih elok'

    


Kuala Krai: Demi menggembirakan dua anaknya, Mohd Zakiman Irwan Othman ketepikan rasa malu dan sanggup mengutip mainan ditemukan di tempat pembuangan sampah.

Mainan troli itu dibawa pulang ke rumah kemudian dicuci hingga bersih sebelum dihadiahkan kepada dua anaknya, Nur Aisy Zakira, 5, dan Muhammad Zakif Mikhail, 3.

Mohd Zakiman Irwan, 35, memuat naik video gambarnya mencuci mainan itu di TikTok kelmarin dan perkongsian berkenaan meruntun hati warganet.

Rata-rata warganet kagum dengan kesungguhan Mohd Zakiman Irwan dalam menggembirakan anaknya dan menyifatkannya sebagai bapa penyayang.

Berkongsi kisah sebenar, Mohd Zakiman Irwan yang menetap di Kampung Bedal, di sini berkata, dia nampak mainan itu di tempat pembuangan sampah berhampiran rumahnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Ketika nampak mainan itu, saya tidak ambil terus tetapi sebaik pulang kerja pada sebelah petang, saya singgah semula ke tempat pembuangan sampah itu dan lihat ia masih ada di situ.

"Jadi, saya ambil untuk bawa pulang ke rumah dengan niat beri kepada anak. Sebelum bawa pulang ke rumah, saya ambil gambar untuk dihantar kepada isteri (Nik Mastura Nawi, 29) dan dia tiada masalah kerana mainan itu masih elok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHD Zakiman bersama isteri,  Nik Mastura dan dua anak mereka,  Nur Aisy Zakira serta Muhammad Zakif Mikhail. FOTO Ihsan Mohd Zakiman Irwan Othman
MOHD Zakiman bersama isteri, Nik Mastura dan dua anak mereka, Nur Aisy Zakira serta Muhammad Zakif Mikhail. FOTO Ihsan Mohd Zakiman Irwan Othman

Pulang ke rumah, Mohd Zakiman Irwan terus cuci mainan berkenaan sebelum diberikan kepada anaknya.

Menurut Mohd Zakiman Irwan, anaknya tahu dari mana datangnya mainan itu namun tetap gembira selepas menerima pemberiannya.

"Anak nampak saya bawa pulang mainan itu dan mereka teruja. Ikutkan, saya ada belikan mereka mainan sebelum ini tetapi setakat yang murah saja di kedai RM2 kerana bekerja di kilang dengan gaji hari jadi mana mampu beli yang mahal," katanya.

Berhubung kisahnya yang tular, Mohd Zakiman Irwan berkata, dia tidak sangka perkongsiannya di TikTok itu mendapat maklum balas luar biasa.

"Saya ambil gambar dan muat naik video untuk suka-suka saja, bukan untuk meraih simpati sesiapa.

"Niat saya untuk mengingatkan mereka yang menonton supaya menghargai pengorbanan seorang ayah namun ramai pula tersentuh.

"Ada juga individu ingin bantu saya sekeluarga cuma kalau nak beri duit, saya tidak terima kerana ramai lagi di luar sana yang susah tetapi tiada masalah jika beri sebagai hadiah buat anak," katanya.