Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Tragedi dirogol dalam terowong

    


Sungai Petani: Pelajar Tingkatan Satu mendakwa dirogol dua lelaki dalam kereta di terowong berhampiran kawasan perumahan di Bedong di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 1 pagi itu, remaja perempuan berkenaan mendakwa seorang daripada suspek adalah rakan lelaki berusia 15 tahun yang baru dua minggu dikenali dan sama sekolah dengannya.

Susulan kejadian, mangsa yang berusia 13 tahun membuat laporan polis, semalam.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa dijemput kenalan lelaki itu dari rumahnya pada 8.15 malam untuk keluar makan di kawasan Gunung Jerai dengan menunggang motosikal.

"Mangsa mendakwa dia kemudian dibawa ke rumah suspek di sebuah kampung di Bedong dan diajak menaiki Proton Wira bersama empat lagi lelaki lain untuk ke kawasan terowong berhampiran perumahan.

"Ketika berada di terowong itu, mangsa mendakwa dirogol di dalam kereta oleh dua lelaki termasuk rakan yang dua minggu dikenalinya (remaja 15 tahun), manakala tiga lagi lelaki lain berada di luar kereta," katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan laporan, polis kini memburu semua lima suspek berusia 15 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan, manakala mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

sumber : hmetro