Penunggang motosikal maut digilis lori ketika konvoi
IPOH – Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah di kepala selepas digilis lori dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd. Nor Jen, 47.
Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha MZ150 dikatakan sedang berkonvoi ke Cameron Highlands bersama kira-kira 40 motosikal lain.
Dalam nahas itu, rakan mangsa berusia 50 tahun yang menunggang motosikal di belakang mangsa cedera ringan selepas terbabas ketika cuba mengelak mangsa.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd. Sapri Yeop Mohamad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 1.49 petang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku nahas membabitkan sebuah lori 10 tan tanpa muatan dan dua motosikal.
“Operasi mengeluarkan mangsa dari bawah lori dijalankan menggunakan peralatan khas. Mangsa yang parah disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 3.19 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE