Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Sanusi kecewa penyokong tuntut duit pulang mengundi

 


Padang Serai: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kecewa dengan sikap segelintir penyokong parti itu yang menuntut duit untuk pulang mengundi.


Katanya, perbuatan itu amat memalukan kerana penyokong parti lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meminta duit walaupun pulang dari luar negara.


"Pengundi PH tidak pernah minta walau pun 10 sen, sanggup berhabis puluhan ribu ringgit untuk pulang dari luar negara. Undi kita penting, jangan berkira duit minyak RM50, RM100 atau RM200 (kerana) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, duit tambang sekupang pun tak minta.


"Dia undi PH, dia jahanamkan kita. Hampa (anda) RM50 riuh merata, minta merata buat video dan tunjuk kat orang, buat malu. Kawan tu balik habis puluh ribu, sekupang dia tak minta pasai dia tau penting tanah ini untuk dikuasai.


"Kita bodoh, ligan (kejar) wakil rakyat minta RM50, tak bagi (ugut) tak mau balik dah. Hang bodoh, negeri ini orang nak amik dah," katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah PN Padang Serai, di sini.


Menteri Besar itu berkata, sikap berkira tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pengundi PN.


"Ini tidak lagu (macam) kita ni, patutlah kita kena jajah teruk, patut kemenangan kita dirampas begitu sahaja pasai (kerana) kita ini bangsa berkira, taik hidung masin.


"(Ada pengundi PH) balik daripada Australia satu keluarga RM40,000 berhabis, dia undi PH, bukan duduk sini pun tak berkira pun, tak ada buat video apa," katanya.