Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Penulis novel kritikal

 


Kuala Lumpur : Keadaan terkini penerbit dan penulis novel, Siti Rosmizah Semail yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan, di sini, sejak Ahad lalu akibat Covid-19 semakin membimbangkan dan kritikal.

Menerusi Instagram @sitirosmizahsemail, pengendalinya memaklumkan jangkitan itu sudah mencapai tahap empat.

"Assalamualaikum...berita sedih yang kami terima. Covid kak Siti sudah naik 'stage' 4. Sama-sama kita doa moga kak Siti diberi kesembuhan dan kekuatan untuk terus berjuang melawan sakit ini. Beliau kritikal," tulis pengendalinya.

Terdahulu menerusi BH Online, Penerbit Eksekutif SR One Sdn Bhd, Syed Muhamad Izzudin Syed Akil berkata, Siti Rosmizah perlu dipantau doktor bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi berikutan keadaannya yang agak kritikal.

"Setakat hari ini (semalam) tahap kesihatannya masih belum menunjukkan perkembangan ketara. Mungkin ini disebabkan kesan daripada ubat yang diberi doktor sejak mula dimasukkan ke ICU.

"Siti Rosmizah juga perlu ditahan dan dipantau rapi oleh doktor dalam tempoh dua minggu. Jadi, selepas itu, barulah kami akan dimaklumkan mengenai proses seterusnya," katanya.

Mereka dan keluarga Siti Rosmizah juga belum dibenarkan melawat dan hanya berkomunikasi dengan doktor saja.

Siti Rosmizah mengalami simptom seperti demam dan batuk berpanjangan sebelum dibawa ke hospital Ahad lalu.