Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Seorang ibu sempat melihat anaknya bermain air menerusi video yang dikirim suaminya sebelum kanak-kanak berusia tiga tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam tali air

 


KUALA TERENGGANU Seorang ibu sempat melihat anaknya bermain air menerusi video yang dikirim suaminya sebelum kanak-kanak berusia tiga tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir, di sini, kelmarin.


Nurul Ain Bakri, 33, yang tinggal di Kampung Telari, di sini, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja apabila suaminya menghantar klip video menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 4 petang.

Katanya, setengah jam kemudian suaminya, Mohd. Sobrey Ramli, 32, menelefon dan memintanya pulang setelah anak kedua mereka, Muhammad Sufi Eijas terjatuh ke dalam tali air.


“Semalam (kelmarin) memang suami tidak bekerja dan dia membawa tiga anak kami bersiar-siar sementara menunggu saya balik kerja serta menghantar anak sulung ke kelas mengaji.


“Di dalam video itu dia sedang bermain air tetapi saya tidak perasan ada jambatan kerana limpahan air banjir terlalu tinggi. Saya dengar suami berpesan kepada anak supaya tidak bermain terlalu jauh.


“Malah saya menyangka suami dan anak-anak hanya bersiar-siar di sekitar rumah kami memandangkan mereka tidak pernah berkunjung ke kawasan tali air itu.


“Selepas menerima panggilan telefon dari suami, saya bergegas ke tempat kejadian dan sebaik sahaja tiba pada pukul 5 petang, pasukan penyelamat sudah memulakan selaman,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mayat Muhammad Sufi Eijas ditemukan anggota pasukan mencari dan menyelamat di tali air Kampung Kebor Besar pukul 11.34 pagi, semalam.


Nurul Ain memberitahu, sebelum kejadian Muhammad Sufi Eijas menunjukkan perubahan sikap selain mengakui terkilan tidak sempat memeluk dan mencium anaknya itu ketika bertolak ke tempat kerja.


Katanya, dia menyedari anak kedua dari tiga beradik itu tidak manja seperti biasa dan lebih banyak mendiamkan diri ketika di rumah bersama ibu bapa serta adik-beradik yang lain.


“Kebiasaannya dia datang memeluk dan mencium saya sebelum tidur namun malam sebelum kejadian dia tidak berbuat demikian, sebaliknya terus ke bilik tidur selepas makan malam.


“Pada pagi hari kejadian pula, dia meminta dihantar ke rumah nenek di Kampung Baru Tetambah kerana sudah tiga hari tidak ke sana dan tidak mahu duduk bersama ayahnya di rumah.


“Saya reda dengan kejadian ini dan walaupun ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, saya bersyukur jasadnya dijumpai dalam keadaan sempurna,” katanya. 


Sumber: UTUSAN MALAYSIA